KUNJUNGAN HORMAT OLEH JABATAN PENJARA MALAYSIA KE ATAS YB MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
3 September 2026
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Penjara Malaysia yang diketuai oleh Komisioner Penjara Hajah Nora Musa di pejabat KPWKM, Putrajaya. Pertemuan ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian/Jabatan/Agensi di bawah KPWKM bagi membincangkan potensi kerjasama strategik rentas agensi.
Perbincangan bermakna ini menumpukan kepada agenda sokongan pemulihan, kesejahteraan dan persediaan banduan termasuk pembangunan model penjagaan khas bagi golongan rentan seperti warga emas dan OKU.
Selain itu, pelbagai inisiatif turut dibincangkan merangkumi mekanisme perlindungan pasca pembebasan yang holistik, pemerkasaan ekonomi dan institusi keluarga banduan, peningkatan latihan kerja sosial pegawai, serta sokongan khusus bagi banduan wanita.
Menerusi usahasama ini, KPWKM kekal komited dalam memperkasakan kebajikan, perlindungan, serta sokongan inklusif untuk segenap lapisan masyarakat tanpa meminggirkan golongan banduan mahupun bekas banduan.