AKU Wanita @KRT Adalah Suara Untuk Mereka Yang Pernah Bisu Kerana Derita
16 Julai 2025
Keganasan rumah tangga bukan lagi isu tersembunyi — ia adalah realiti yang perlu ditangani dengan keberanian, empati dan tindakan bersama. KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mengaktifkan Program AKU Wanita
@KRT sebagai wadah untuk mendekati masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi yang dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.
YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita
@Keganasan Rumah Tangga atau AKU Wanita
@KRT yang dihadiri lebih 500 orang peserta.
Menerusi program ini, isu-isu berkaitan keganasan rumah tangga dibincangkan secara mendalam bersama pakar dalam bidang berkaitan serta pemandiri, iaitu individu yang pernah menjadi mangsa tetapi telah berjaya keluar daripada kitaran keganasan tersebut. Mereka turut berkongsi kisah kebangkitan dan pengalaman hidup sebagai inspirasi kepada masyarakat. “Bukan mudah menjadi pemandiri, tetapi mereka telah membuktikan bahawa luka bukan pengakhiran. Dengan sokongan program ini kita mahu lebih ramai lagi pemandiri yang bangkit dengan kekuatan.
KPWKM sebagai Kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, sentiasa komited dalam memperkukuhkan dasar, undang-undang serta mekanisme dalam menyampaikan maklumat serta sokongan kepada komuniti terutamanya mangsa keganasan rumah tangga.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini ialah pengenalan kepada KRT: Punca & Kesan KRT, Slot K-Chat “Langkah Kananku’’ bersama 30 pemandiri KRT terpilih, sesi energizer dan Slot Perkongsian Ayuh Berani Lapor. Turut diadakan pameran reruai Jabatan dan Agensi KPWKM.
Turut sama hadir dalam program ini ialah YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW, YBrs Puan Rosmahwati binti Ishak, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai-pegawai kanan Jabatan serta Agensi KPWKM.