LENSA KPWKM

SAMBUTAN HARI WANITA KEBANGSAAN KE-65

Program      5 September 2026      Kuala Lumpur    

Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-65 dengan tema “Healthy Ageing for Women in a Sustainable Silver Economy” tahun ini membawa mesej penting bahawa wanita warga emas hendaklah menjalani kehidupan yang sihat, mempunyai jaminan kewangan dan terus hidup bermaruah.

Anjuran National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO), majlis yang diadakan di Kuala Lumpur telah diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya berkata wanita perlu terus diberi ruang untuk menyumbang kepada keluarga, komuniti, ekonomi dan negara seiring dengan Malaysia yang menuju status negara menua.

Beliau menambah, wanita mempunyai peranan penting dalam ekonomi sebagai pemimpin, usahawan, pekerja dan pelbagai peranan yang lain. Pada masa sama, pengetahuan kewangan perlu diperkukuh supaya wanita lebih bersedia merancang masa hadapan, mengenal pasti risiko kewangan serta melindungi diri daripada ditipu.

Dalam memastikan kesejahteraan wanita sepanjang fasa kehidupan, aspek penjagaan turut menjadi keutamaan. Penjagaan bukan hanya tanggungjawab keluarga, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan keluarga, komuniti, tempat kerja dan sistem awam, lebih-lebih lagi apabila tanggungjawab penjagaan sering dipikul oleh wanita.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan terus memperkukuh ekosistem penjagaan menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 bagi meningkatkan piawaian penjagaan, memperkukuh tenaga kerja penjagaan serta menyediakan sokongan yang lebih baik kepada keluarga. Usaha ini penting dalam memastikan wanita terus diperkasa tanpa mengabaikan kesejahteraan, pendapatan dan aspirasi mereka.

Selain itu, KPWKM akan terus memperkukuh kerjasama bersama NCWO serta pelbagai pihak berkepentingan dalam membina Malaysia yang menghargai, menghormati, menyokong dan memperkasa wanita setiap generasi untuk terus menyumbang serta memainkan peranan dalam membentuk masa depan negara.

ATAS
Accessbility Option