Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI KPWKM
15 Oktober 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mengorak langkah memperkukuh ekosistem pendidikan inklusif melalui Inisiatif Sekolah Angkat MADANI, berteraskan semangat reformasi perkhidmatan awam yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri.
Hari ini, Majlis Penyerahan Projek di bawah Inisiatif Sekolah Angkat MADANI KPWKM telah berlangsung di SMKA Falahiah, Tumpat, Kelantan yang melibatkan seramai 287 pelajar dan 104 guru dengan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM.
Projek ini menampilkan dua sumbangan utama:
-Gelanggang Bola Tampar baharu.
-Bilik Studio Mini TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) sebagai platform kreatif membina kepimpinan dan kemahiran komunikasi pelajar.
Turut dilaksanakan tiga slot interaktif oleh agensi di bawah KPWKM iaitu pendedahan mengenai kesihatan mental daripada Yayasan Kebajikan Negara, slot bicara mengenai saluran aduan Tribunal bagi Antigangguan Seksual serta kesihatan reproduktif dan KASIH Remaja@KafeTeen daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Dua aset bergerak iaitu Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Trak KafeTeen turut disediakan bagi menawarkan perkhidmatan kepada para pelajar dan guru-guru.
Semoga projek ini menjadi tanda kesepakatan antara Kerajaan, sekolah dan komuniti dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berjiwa besar seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir, YBrs. Puan Hajah Siti Norina binti Muhamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, YBrs. Encik Rozeman bin Din, Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, YBrs. Tuan Haji Mohd. Rosli bin Idris, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah dan pegawai-pegawai kanan KPWKM.