Malam Apresiasi Anjung Sinar YKN: Road to Campus @ UNITEN
2 Oktober 2026
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menyempurnakan Malam Apresiasi Anjung Sinar YKN: Road to Campus @ UNITEN yang diadakan di Bangi.
Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar: Road to Campus @ UNITEN merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi memberi peluang kepada anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta daripada keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian di UNITEN. Pengajian akan ditaja sepenuhnya oleh UNITEN merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian, penginapan serta elaun bulanan.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan Sijil Kerjasama oleh Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari, Naib Canselor UNITEN kepada Puan Nordina Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YKN selain penyampaian surat tawaran pengajian kepada pelajar terpilih yang bakal melanjutkan pengajian peringkat diploma di Kampus UNITEN Putrajaya dan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (Muadzam Shah).
KPWKM melalui jabatan dan agensi di bawahnya komited untuk memastikan kanak-kanak institusi yang cemerlang dalam pendidikan dapat melanjutkan pelajaran di peringkat tertiari dengan mengadakan kolaborasi strategik bersama pelbagai agensi pendidikan yang berkaitan.
Turut sama hadir dalam majlis ini ialah YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama barisan pengurusan kanan KPWKM, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).