Kem Kapten Keluarga dan Kick Off Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2025
15 Jun 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak telah menganjurkan Kem Kapten Keluarga di Damai Escape Park, Santubong sempena Sambutan Hari Bapa 2025.
Program ini dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan antara ayah dan anak lelaki melalui pendekatan aktiviti bersama, komunikasi terbuka dan pemahaman tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan.
Program selama tiga hari dua malam ini menghimpunkan bapa dan anak lelaki dalam pelbagai sesi seperti “Kenal Ayah, Kenali Anakmu”, “Eksplorasi KASIH Keluarga”, “Bicara Hati, Mendengar Emosi” dan “Legasi Bapa, Mandiri Anak”. Setiap sesi dirangka bagi membina keyakinan, saling memahami dan menggalakkan kehadiran bapa yang lebih aktif dalam perkembangan emosi dan sosial anak.
YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyatakan bahawa peranan seorang bapa hari ini semakin kompleks dan menuntut penglibatan lebih mendalam, termasuk dalam aspek keselamatan siber, buli digital dan etika dalam penggunaan teknologi.
Acara Kick Off Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2025 juga telah disempurnakan YB Menteri dengan tema “Ayahku, Kapten Keluarga”. Tema ini dipilih bagi menekankan pengaruh besar seorang bapa terhadap anak lelaki, terutama dalam membentuk nilai, disiplin dan kepimpinan. Anak lelaki cenderung meniru tingkah laku bapa, menjadikan peranan ini sangat penting dalam pembangunan sahsiah generasi akan datang.
Dalam majlis sama YB menteri telah menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Khemah Paling Kamboh, Khemah Paling Merelip, Bapa Paling Otai, Juara Eksplorasi KASIH Keluarga dan Anugerah Ayah Kapten Keluarga.
Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Dato Sri Hajah Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN serta wakil-wakil Jabatan dan Agensi KPWKM.
KPWKM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasa keluarga melalui pendekatan yang praktikal dan menyeluruh, selaras dengan komitmen membina masyarakat yang sejahtera dan bertanggungjawab.