Pelancaran Laman Web Rasmi Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA)
8 Februari 2026
Pelancaran Laman Web Rasmi Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pemerkasaan wanita melalui pendigitalan dan pengukuhan institusi masyarakat. Inisiatif ini selari dengan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang memberi penekanan kepada peningkatan literasi digital, pengukuhan keusahawanan dan perluasan penyertaan wanita dalam ekonomi moden.
Platform digital seperti laman web rasmi bukan sahaja memudahkan penyampaian maklumat yang sahih dan tepat, malah menjadi medium strategik untuk memperluas jaringan kerjasama, memperkukuh ketelusan organisasi serta melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu dan penipuan dalam talian.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memainkan peranan sebagai peneraju dasar dan pemudah cara dalam memperkasa wanita, keluarga dan komuniti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, perlindungan sosial, peningkatan kemahiran serta pengukuhan kesejahteraan masyarakat secara inklusif.
Usaha berterusan KPWKM turut memberi penekanan kepada kerjasama strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat bagi memastikan dasar dan program yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Kerajaan MADANI menerusi KPWKM komited memperkukuh ekosistem sokongan yang menyeluruh bagi memastikan wanita terus diperkasa sebagai pemacu pembangunan negara. Diharapkan pelancaran laman web rasmi SIWA ini akan menjadi pemangkin kepada pengembangan jaringan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa, seterusnya memperkukuh usaha memperkasa wanita, keluarga dan komuniti ke arah kesejahteraan yang lebih mampan dan inklusif.