Memasuki 18 Ramadan, seramai 330 warga KPWKM dan jemputan berkumpul dalam Majlis Berbuka Puasa dan Program Penerapan Nilai-nilai Murni bagi meraikan bulan penuh keberkatan ini. Dengan semangat kebersamaan, majlis ini berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan turut dihadiri oleh Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM iaitu YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM. Kehadiran ahli-ahli Majlis Pengurusan Tertinggi yang lain juga mencerminkan nilai persaudaraan dan solidariti dalam kalangan warga kerja.
Majlis lebih bermakna dengan penyampaian sumbangan kepada penerima wakalah KPWKM dan kehadiran kumpulan sasar kementerian yang terdiri anak-anak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu Asrama Bahagia Kuala Lumpur, Asrama Sentosa Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Selangor, Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras Selangor dan Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Kuala Lumpur. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran 20 orang penerima bantuan Yayasan Kebajikan Negara yang terdiri daripada Anak-anak Anjung Sinar Yayasan Kebajikan Negara. Pemberian sumbangan ini jelas menzahirkan keprihatinan KPWKM terhadap golongan yang memerlukan.
Turut diadakan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Idzhar Jumali. Melalui ceramah itu, warga KPWKM diingatkan untuk menjadikan Ramadan ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan amal ibadah. Sekalung syabas dan tahniah diucapkan kepada warga KPWKM yang bertungkus lumus menjayakan majlis yang cukup meriah ini. Penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk berkumpul mengeratkan ikatan kekeluargaan KPWKM, tetapi secara tidak langsung menyemai nilai IHSAN dalam diri selaras dengan konsep Malaysia MADANI.