Majlis Berbuka Puasa MADANI Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan telah berlangsung dengan penuh keberkatan di Sekolah Kebangsaan Dato' Alaudin, Selinsing, Perak. Majlis ini telah dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama para pemimpin kerajaan dan masyarakat setempat.
Majlis ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, yang bertujuan untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan serta menghayati nilai-nilai Islam yang mendukung kesejahteraan dan perpaduan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri KPWKM, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri KPWKM serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan kepimpinan negeri Perak.
Dalam majlis ini, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) bernilai RM13.4 juta kepada YBrs. Tuan Saidi Bin Haji Shaari, Pegawai Daerah Kerian. Pemberian geran ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkasa kesejahteraan komuniti setempat, meningkatkan daya saing sosial dan ekonomi serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan khas kepada anak-anak yatim sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan. Penerima sumbangan terdiri daripada Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Sekolah Kebangsaan Dato’ Alaudin, Selinsing, serta anak-anak yatim dari Kampung Selinsing. Dengan adanya sumbangan ini, diharapkan anak-anak ini dapat merasai kegembiraan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta diberi dorongan untuk terus mencapai kecemerlangan dalam kehidupan mereka.
Sebagai pengisian rohani, majlis ini turut diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ibnu Sina Bin Abdul Rahim. Majlis ini merupakan lambang perpaduan antara pemimpin dan rakyat. Ia mencerminkan semangat MADANI yang menitikberatkan kebersamaan, kesejahteraan serta keprihatinan dan ihsan terhadap golongan yang memerlukan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini. Semoga semangat MADANI terus mekar dalam kehidupan masyarakat, membawa keberkatan serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia.